5 Makanan Yang "Melembikkan" Kita

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه



1 – Makanan berasaskan Karbohidrat ringkas
Di Malaysia terdapat banyak makanan yang asasnya dibuat dari karbohidrat ringkas, terutamanya yang berasaskan tepung seperti roti canai, kuih muih, manisan, dan roti. Bukan itu sahaja, malah minuman yang ada majoritinya kaya dengan gula atau susu pekat manis, kedua-duanya merupakan karbohidrat ringkas juga. Kebiasaannya makanan/minuman yang kaya karbohidrat ringkas hadir dengan kekurangan nutrien lain terutamanya sumber serat dan protein. Hal ini membuatkan regulasi insulin menjadi kurang stabil dan sekiranya berterusan, boleh membawa kepada penyakit Kencing Manis (Diabetes 2). Ketidakstabilan regulasi insulin ini juga memberi kesan kepada individu berkenaan – otak terangsang untuk menghasilkan serotonin, sejenis neurotransmitter yang bertanggungjawab membuatkan orang mengantuk semulajadi pada sebelah malam.
2 – Kaffein berlebihan
Bukankah saya ada menyebut tadi kaffein merupakan sebahagian dari bahan pemangkin metabolisma? Itu betul, tetapi jika kita berbicara mengenainya dalam kuantiti yang sepatutnya. Terlalu banyak kaffein akan memberikan kesan yang sebaliknya. Saya teringat lagi seorang rakan saya yang berhasrat untuk memandu sehingga tengah malam, lalu beliau mengambil keputusan untuk minum beberapa cawan kopi dan minuman tenaga termasuklah “Red Bull” dan “Livita” sepanjang hari itu. Adakah beliau mampu meneruskan pemanduannya sehingga malam? Ya, beliau mampu, tapi dalam keadaan yang sangat menyedihkan dan beberapa kali beliau bertanya pada saya, “Joy, aku dah minum kopi, redbull, livita, nescafe, tapi kenapa haaa aku rasa mengantuk juga?“.
3 – Terlalu banyak Nasi
Orang-orang tua pernah berpesan, “Makan banyak sikit kalau nak jadi kuat dan bertenaga”. Apa yang mereka maksudkan ialah mereka merujuk kepada mereka yang bekerja membanting tulang di sawah, kebun, atau mengerah keringat sebagai buruh. Kerja-kerja sebegini memerlukan tenaga yang banyak dan berterusan agar dapat terus bekerja dengan baik. Walaubagaimanapun, senario itu berubah dari zaman ke zaman, dan memandangkan pada hari ini kebanyakan kerja adalah bersifat “santai” di pejabat, ungkapan tersebut tidak lagi praktikal. Sekiranya anda bekerja di pejabat, dan anda makan terlalu banyak nasi, maka kesan sebaliknya adalah mengantuk.


Saya teringat lagi suatu ketika dahulu ada yang mengaitkan rasa mengantuk selepas memakan nasi, terutamanya “nasi briyani” dengan serbuk “kas kas” yang membuatkan pemakannya rasa mengantuk sejurus selepas makan. Meskipun kebenaran disebaliknya tidak diketahui, namun ada sesetengah pihak percaya bahawa penyebab rasa mengantuk selepas makanan nasi adalah disebabkan oleh kehadiran hormon seratonin. Ini kerana nasi (putih) tergolong dalam karbohidrat dengan sifat glycemic yang sederhana, justeru ia masih mampu menaikkan paras gula dalam darah dengan cepat (rujuk pautan minuman tenaga sebelum ini). Ini berbeza dengan mereka yang bekerja berat, meskipun mereka makan dengan banyak, tetapi disebabkan kerja berat tersebut memaksa terjadinya “Adrenaline Rush”, maka kesan mengantuk dari hormon seratonin itu dimatikan.
Untuk mengelak dari mengantuk sejurus selepas makan nasi, pastikan kuantiti karbohidrat, protein dan lemak dalam hidangan tersebut adalah pada nisbah yang betul. Cara paling mudah menentukan sukatan adalah dengan menggunakan tangan anda, iaitu “Sepenumbuk/segenggam nasi”, “sumber protein sebesar tapak tangan”, dan lebihkan sumber serat (sayuran)
4 – Makanan berlemak
Makanan berlemak memerlukan masa yang lama untuk dihadamkan. Perkara ini dibuktikan apabila anda makan nasi briyani pada tengahari, tapi kadang-kadang selepas waktu Maghrib sendawa pun boleh jadi ada bau briyani lagi. Setuju? Proses penghadaman yang lama ini memerlukan lebih banyak usaha untuk mencernakannya. Sebahagian darah yang sepatutnya digunakan untuk menggerakkan anggota badan anda yang lain terpaksa “dikorbankan” ke sistem pencernaan hanya untuk menjayakan proses penghadaman ini, dan ini akan memberi kesan kepada kadar “keaktifan” anda selepas makan (sebagai contoh terbungkam seperti Ular sawa kekenyangan selepas makan)
5 – Makanan yang kurang zat besi
Zat besi merupakan sebahagian mineral yang penting dalam pembentukan hemoglobin, sejenis pigmen yang membuatkan darah kita kelihatan berwarna merah. Kekurangan zat besi lebih cenderung membuatkan anda keletihan dan ini ada hubungkaitnya dengan sejauh mana efisyennya oksigen itu dibawa ke serata tubuh badan. Mereka yang ingin mengaktifkan diri dengan marathon, triathlon, dan acara lasak lain yang memerlukan rejim endurance juga dinasihatkan agar tidak mengabaikan mineral penting ini. Meskipun zat besi wujud secara ‘abundance‘ dalam makanan semulajadi, namun disebabkan industri makanan masa kini telah digelapkan dengan makanan ringkas/proses/segera maka terdapat sebilangan golongan yang mungkin terlepas akan kecukupan mineral yang penting ini hanya disebakan tabiat mereka yang suka makanan “tiruan” ini.

sumber

Previous
Next Post »