'Potong Kuku' Dalam Islam ?

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه


Soalan : Salam Ustaz alrais. Boleh bagi tip cara potong kuku ikut sunnah?

MEMOTONG KUKU

Dalam Islam memotong kuku merupakan amalan yang dianjurkan kerana termasuk dari sunnah Rasulullah saw.

Dari Aisyah r.ha yang maksudnya : "Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah) : memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (istinja'), berkata Zakaria : "Berkata Mus'ab : "Aku lupa kesepuluh kecuali berkumur."
[HR Muslim]

Dari Abu Hurairah ra katanya : "Bersabda Rasulullah saw : Lima perkara dari tuntutan agama iaitu ; berkhatan, mencukur ari-ari, mengerat kuku, mencabut ketiak dan menggunting misai."
[HR Muslim]

CARA
Disunatkan :
>memulakan dari tangan kanan kemudian tangan kiri

>memulakan kaki kanan kemudian kaki kiri

Nabi saw suka memulai sesuatu dengan yang sebelah kanan seperti disebut dalam hadis Aisyah r.ha :
"Dahulu Rasulullah saw sangat senang mendahulukan sisi yang kanan dalam memakai selipar, bersikat, bersuci dan dalam semua urusannya (yang baik).'
[HR Bukhari dan Muslin]

WAKTU BILA? NAK MULA JARI MANA?
Adapun penentuan waktu atau hari tertentu untuk memotong kuku dan tatacaranya seperti dimulai dari jari kelingking, kemudian jari tengah, lalu ibu jari, lalu jari manis, lalu jari telunjuk dan seterusnya, maka TIDAK ADA satu pun HADIS SAHIH dari Nabi saw dalam hal ini.

Bahkan derajat hadis-hadis yang menerangkan secara terperinci tentang penentuan waktu dan hari untuk memotong kuku serta tata caranya adalah Dhoif dan Palsu.

Oleh itu boleh bagi kita memotong kuku BILA-BILA saja, hari apa saja, dimulai dengan jari manapun apabila kuku telah melebihi hujung jari.

TEMPOH
Akan tetapi janganlah membiarkan tidak dipotong sehingga melebihi empat puluh malam seperti diriwayatkan Anas bin Malik maksudnya :
"Telah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih dari empat puluh malam."
[HR Muslim]

HIKMAH
Hal ini dilakukan agar tiada kotoran terperangkap di bawahnya dan agar tidak menghalangi masuknya air ketika berwudhu' dan mandi.

Wallahua'lam.

Oleh: Ustaz Abdul Rahman Iskandar (Alrais)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
 photo p18_zpsnhtphbmr.png