Mendidik Anak Mengikut Keperluan Zaman ?

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه



SOALAN : Salam Ustaz arrais ! Apakah maksud hadis "Mendidik anak ikut keperluan zaman"? Adakah ia hadis sahih? Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN : Wa'alaikum salam....

▪️ علِّمُوْا أَوْلاَدَكُمْ عَلٰى غَيْرِ شَاكِلَتِكُمْ فَإِنَّهُمْ مَخْلُوْقُوْنَ لِزَمَانٍ غَيْرِ زَمَانِكُمْ
“Didiklah (persiapkanlah) anak-anakmu atas hal yang berbeza dengan keadaanmu (sekarang) kerana mereka adalah makhluk yang hidup untuk satu zaman yang bukan zamanmu (sekarang)”

 ▪️"لاتجبروا اولادكم على عاداتكم فقد خلقوا لزمان غير زمانكم"
"Janganlah kamu memaksa anak-anakmu mengikut budaya kamu, sesunguhnya mereka diciptakan untuk zaman yang bukan zamanmu"

▫️Ada beberapa lagi lafaz lain yang memberi maksud hampir sama disandarkan kepada Khalifah Umar Al-Khattab ra dan Ali ra .

Ulasan berkaitan sanad : Merujuk perbincangan di kalangan Ulamak ; ia BUKAN hadis Nabi saw, bahkan juga tidak ada sanad sahih yang diperakui bahawa ia daripada Sayyidina Umar mahupun Sayyidina Ali ra.

Beberapa ulama menyandarkannya kepada Plato, manakala Ibn Qayyim dalam Ighathatu al-Lahafaan (2/265) menyandarkannya kepada Socrates.

Namun dari sudut maknanya adalah baik dan boleh diamalkan. Ia termasuk dalam الحكمة ضالة المؤمن.

Inilah cabaran besar yang benar-benar nyata bagi keluarga Muslim abad ini. Iaitu bagaimana hendak mendidik anak sesuai dengan zamannya. Dikatakan demikian kerana di era kekinian berbagai macam konsep dan model pendidikan sungguh sangat 'variatif.'

▫️Lebih dari itu dari sisi budaya, pergaulan dan perkembangan sosial, anak-anak sangat rentan ‘menelan’ begitu saja apa yang menurut naluri mereka asyik dan menarik tanpa mempedulikan batasan norma dan agama. Tidak menghairankan, jika kemudian anak-anak masa kini tidak begitu tertarik dengan konsep-konsep dasar dan penting dalam Islam.

▫️Di sinilah ramai ibubapa yang nampak 'kewalahan' putus asa dan kekhuatiran dalam menghadapi perilaku anak. Sebahagian ada yang mengambil tindakan ekstrim dengan memisahkan anak dari perkembangan zaman. Sebahagian justeru 'apatis' tidak peduli dan membiarkan anaknya hanyut dengan perkembangan zaman yang berlangsung.
▫️Sebagai Muslim, tentu dua jenis respon tersebut 'Kewalahan dan apatis' sangat tidak dianjurkan. Islam itu ada unsur Tsawabit (TETAP) dan juga ada unsur Mutaghayyirat (fleksibel / berubah-ubah).

Tsawabit dalam konteks aqidah, seperti yang disampaikan oleh Luqman Al-Hakim kepada anaknya agar tidak mempersekutukan Allah (QS. 31: 13).

Mutaghayyirat dalam hal skill penting yang mesti dikuasai seorang anak. Hal ini tentunya tidak boleh terjadi sama 100% secara praktikal sebagaimana Nabi menjalankan pendidikan skill kepada anak-anak.

▪️Misalnya terhadap hadits yang mengatakan bahawa anak-anak perlu dididik skill memanah, berenang dan berkuda yang boleh menguatkan stamina, karektor kepimpinan, keyakinan diri dan berani. Hadis (anjuran kemahiran memanah) tersebut merupakan kunci bagi Umat Islam untuk survive "Mampu bertahan hidup di segala zaman."

▪️Dalam konteks modern maka segala hal yang dianggap penting dan kontekstual bagi kemajuan peribadi maupun kolektif umat, segenap ibubapa perlu mendidik anak-anak mereka menguasai kesemua hal itu. Selain kebolehan berenang, memanah dan  berkuda perlu juga menguasai skill keperluan zaman ini seperti penguasaan IT, bioteknologi, kedoktoran dan banyak lagi.

▪️Jadi pengertian mendidik anak sesuai zamannya adalah mengarahkan anak-anak kita mampu SURVIVE dalam zaman di mana dia hidup, sehingga mampu menjadi insan yang mandiri dan kontributif bagi kemaslahatan umat.

Mengenai pendidikan yang bersifat tsawabit (aqidah dan ibadah) maka ibubapa dan pendidik harus menempatkannya sebagai yang paling UTAMA. Lebih dahulu dan lebih penting dari pendidikan skill. Sebab, kecerdasan skill yang tidak dilandasi dengan aqidah yang kukuh hanya akan menimbulkan kerosakan demi kerosakan.

▪️Seperti yang kita lihat dan rasakan di zaman ini. Betapa mereka yang terdidik secara kognitif ternyata banyak yang tidak mampu memegang teguh norma-norma agama, moral dan sosial. Tinggi intelektualnya namun rendah integritinya.

▪️Semua ini dikeranakan konsep yang keliru dalam pendidikan anak. Di mana atas nama perkembangan zaman aspek yang mutaghayyirat amat dikejar-kejar, sementara yang tsawabit  justeru diabaikan.

Oleh: Ustaz Abdul Rahman Iskandar (Alrais)



Previous
Next Post »