Remaja dakwa diculik ditempatkan bawah jagaan JKM

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim meminta semua saluran media termasuk media sosial supaya tidak memberi liputan keterlaluan berhubung kes remaja perempuan yang mendakwa dirinya diculik.
Beliau berkata semua pihak sepatutnya memberi ruang kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan rapi terhadap perbuatan Nur Amirah Atirah Abdul Majid, 14, yang mendakwa dirinya diculik di Klang pada Ahad lepas.
"Liputan yang keterlaluan boleh memberi kesan yang negatif kepada remaja perempuan itu dan anggota keluarga terutamanya pendedahan gambar-gambar yang boleh meninggalkan kesan yang tidak baik dari segi psikologi," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, Ahad.
Beliau mengulas kes remaja itu yang mendakwa diculik di Bandar Sultan Suleiman, Klang, dan ditemukan selamat bersama-sama lelaki dipercayai teman lelakinya di depan stesen minyak di Banting pada Jumaat lalu.
Rohani berkata remaja perempuan itu akan ditempatkan secara sementara di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) selepas dibenarkan keluar dari hospital atas permintaan ibu bapanya setelah mengambil kira faktor keselamatan.
Dalam pada itu, beliau berkata kementerian memandang serius tentang perbuatan remaja perempuan itu yang telah menimbulkan kebimbangan banyak pihak terutamanya ibu bapa, kerana perbuatan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan
Rohani turut menyarankan ibu bapa dan penjaga supaya memberi perhatian yang serius kepada anak masing-masing terutama memberi lebih masa untuk bersama-sama mereka dan mendengar masalah yang mungkin boleh dikongsi bersama.
"Jangan biarkan anak-anak menjadikan pihak ketiga untuk meluahkan masalah dan mendapat nasihat yang kurang tepat.
"Oleh itu, ibu bapa yang berdepan dengan masalah seperti ini, boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada kaunselor di JKM atau di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)," jelas beliau.
Mengulas lanjut, Rohani berkata kementerian melalui JKM akan mengikuti perkembangan kes ini dan akan menyediakan apa jua jenis bantuan yang difikirkan bersesuaian kepada remaja perempuan itu dan ibu bapa serta anggota keluarganya.
- Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
 photo p18_zpsnhtphbmr.png