Penyelesaian Amerika untuk mahasiswa lapar

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



ULASAN Makanan adalah hak asasi.
Namun di kala tekanan ekonomi yang semakin menghimpit, harga makanan menjadi lebih tinggi dari nilai wang dalam saku setiap warga Malaysia khususnya golongan marhaen.
Ini menandakan inflasi yang melanda ekonomi rakyat sedang naik melambung. Sebelum ini suara keluhan yang menghimpit warga marhaen yang biasa kita dengar melibatkan warga miskin kota.
Tetapi kini warga kampus di ibu kota pula yang menerima bahana.
Di Amerika masalah serius ini telah pun melanda pelajar kampus di negara Uncle Sam tersebut lebih awal daripada apa yang terjadi di Malaysia. Bukanlah berniat untuk membuat perbezaan atau persamaan tetapi sekadar meneladani kaedah yang mungkin berkesan untuk di laksanakan dis ini.
Di Amerika ada di kalangan pelajar kampus bukan sahaja ketiadaan wang untuk makan malah ketiadaan tempat tinggal untuk meneruskan pengajian di universiti.
Masalah ini mula mendapat perhatian pentadbir universiti apabila melihat lebih ramai pelajar yang kelaparan, terutama yang datang dari keluarga berpendapatan rendah.
Karen Gerlach, naib presiden hal ehwal pelajar di Trinity Washington University memberitahu, semakin ramai pelajar di Amerika yang datang dari latar belakang isi rumah berpendapatan rendah dan ada juga terpaksa membantu keluarga yang hidup dalam kemiskinan.
Kadangkala para pelajar menjadi serba salah hingga terpaksa memilih antara mahu membeli buku untuk pengajian mereka atau membantu keluarga yang daif.
Jelas masalah mahasiswa di Amerika tidak jauh beza dengan masalah yang dihadapi oleh pelajar kampus di tanah air. Oleh itu jalan penyelesaiannya pula pasti tidak jauh beza.
Washington Post melaporkan bagaimana pelajar-pelajar di Michigan State University berhimpun dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah pelajar kampus yang kelaparan serta tidak punya wang untuk makan.
Pada tahun 2008 sebelum pelajar UIA memperkenalkan kaedah kupon makanan tergantung, pelajar di George Mason University (GMU) terlebih dahulu memulakan program baucar yang mirip program itu.
Mereka menggunakan sumbangan daripada perkhidmatan makanan kampus dan lain-lain sumber untuk menyediakan kupon makanan kepada pelajar yang memerlukan.
Dalam tahun yang sama Feeding America sebuah badan amal yang memberi bantuan makanan buat pertama kali dalam empat tahun membuat tinjauan terhadap bilangan pelajar kampus yang memohon bantuan makanan di universiti.
Di sini wujud kelemahan dalam kaedah pemberian baucar atau kupon makanan yang mana wujud stigma atau perasaan malu andai rakan-rakan lain tahu yang pelajar ini tiada wang untuk makan.
Stigma ini wujud dalam perasaan diri pelajar itu sendiri biarpun dalam masa yang sama orang lain tak ambil kisah pun.
Selain stigma baucar atau kupon makanan tidak menjamin seseorang pelajar akan dapat makan lagi dalam tempoh sehari kerana mereka hanya dapat makan sekali sahaja. Namun ini bukanlah satu kritikan supaya kaedah baucar atau kupon ini mesti dihentikan.
Bank makanan, pantri di fakulti
Namun pada tahun yang sama, mahasiswa di Michigan State University menemui kaedah terbaik untuk menangani masalah mahasiswa yang kelaparan dengan menubuhkan Bank Simpanan Makanan (BSM) yang bertindak menyalurkan stok makanan kepada bilik pantri yang diwujudkan di setiap fakulti yang ada dalam sesuatu universiti.
Manakala setiap bilik pantri pula harus memiliki peralatan dapur yang lengkap untuk membolehkan pelajar memasak dan juga stor penyimpanan makanan. Setiap makanan di bahagikan kepada kepada tiga jenis bahan.
(1) Makanan sedia dimakan (RTE) seperti biskut, coklat atau makanan yang boleh disimpan lama dan boleh dimakan dalam jarak masa satu bulan.
Makanan seperti ini tidak tertakluk kepada makanan kering dan makanan yang dipek sahaja. Malah makanan sejuk beku yang dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro seperti kuih-muih juga boleh dikelaskan sebagai makanan sedia dimakan.
(2) Makanan sedia dimasak (RTC), contohnya seperti makanan dalam tin yang perlu dimasak dahulu seperti sardin atau sotong atau makanan siap masak seperti kari daging atau kari ayam jenama Brahim's yang perlu dimasak dalam ketuhar gelombang mikro.
(3) Makanan mentah (RF) seperti beras, ayam, ikan dan sayur-sayuran. Selalunya makanan sebegini harus disimpan dalam peti sejuk beku yang makanan seperti ini terdiri dari makanan basah dan rencah makanan seperti garam, kicap ataupun sos cili.
Dengan kaedah ini mahasiswa boleh memilih untuk memasak atau menikmati makanan yang sedia di makan. Maka fakulti mereka menghadiri kuliah bakal menjadi 'rumah kedua' berbanding kolej kediaman kerana pasti pelajar akan datang ke fakulti bukan sekadar untuk belajar atau menyiapkan tugasan malah untuk makan bersama rakan-rakan.
Kita akan lihat akan wujud budaya baru yang mana pelajar akan hadir awal ke kelas untuk bersarapan pagi di bilik pantri, yang pasti sesuatu fakulti itu akan berfungsi lebih dari sekadar tempat untuk belajar dan menyiapkan tugasan.
Melalui kewujudan pantri di semua fakulti dalam universiti menjamin kekerapan pelajar untuk makan dan memastikan setiap pelajar tidak akan lapar dalam menjalani rutin seharian di kampus.
Namun kaedah kupon makanan tergantung harus diteruskan sebagai makanan alternatif untuk melengkapkan diet seharian mahasiswa di kampus.
Simulator golf atau makanan?
Sekali imbas dalam mewujudkan bank makanan, ia persis konsep baitulmal pada awal dikuatkuasakan sebagai tanggungjawab wajib ke atas umat Islam yang memiliki kekayaan.
Andai pertubuhan Islam di Malaysia mampu membeli simulator permainan golf, takkanlah tidak boleh menyumbang sedikit buat warga kampus yang memerlukan.
Di Amerika khususnya di Universiti Michigan mahupun Universiti Oregon para pelajar di kampus tersebut menggerakkan kempen mahasiswa bantu mahasiswa (student help student) dalam mengumpul dana mahupun bahan makanan untuk bank makanan mereka.
Malah mereka juga mengamalkan budaya berkongsi makanan secara 'potluck' yang dikumpulkan secara beramai-ramai.
Mekanisme pantau kesihatan
Selain menangani masalah pelajar yang tidak punya wang untuk makan pantri juga mampu berfungsi sebagai pemantau kesihatan pelajar melalui kempen pemakanan sihat.
Membekalkan makanan dengan nutrisi terbaik melalui bank makanan dan pantri mampu menyimpan data kesihatan pelajar mengikut fakulti.
Sebelum ini ada universiti yang ada menjalankan kempen pemakanan sihat tetapi gagal dilaksanakan kerana tiada kaedah paling baik.
Tetapi kini bank makanan dan bilik pantri di setiap fakulti telah punya kaedah yang terbaik. Contohnya pada tahun 2009 ketika wabak selesema burung kembali melanda dunia.
Bank makanan di seluruh universiti di Amerika bertindak menghentikan pemakanan yang berasaskan daging dan menggantikan dengan sayuran dan hasil tenusu.
Setiap pagi bilik pantri akan mengedarkan kepada semua pelajar "power bar" sejenis makanan dari campuran buah-buahan kekacang yang dimampatkan.
Rangkaian kerjasama
Apabila sistem bank makanan di kampus dilihat sebagai satu kaedah paling berjaya menangani masalah mahasiswa yang tidak punya wang untuk makan, kini seluruh kolej dan universiti di Amerika menubuhkan bank makanan di kampus masing-masing.
Jawatankuasa bank makanan dibentuk dan mereka melantik pengarah untuk melicinkan lagi operasi organisasi tersebut.
Setelah semua universiti di seluruh Amerika membentuk organisasi bank makanan yang lengkap dengan pengurusannya sendiri, satu jalinan rangkaian bank makanan di seluruh akan wujud.
Jalinan rangkaian kerjasama ini dinamakan Perikatan Bank Makanan Kolej dan Universiti (CUFBA).
Kini CUFBA yang memiliki dana yang kukuh menjalankan berbagai program termasuk melatih mana-mana organisasi yang mahu menubuhkan bank makanan.
Visi mewujudkan bilik pantri dan bank makanan jelas untuk mengurangkan halangan dan cabaran yang berkaitan dengan kekurangan makanan dan kelaparan supaya pelajar kolej dan universiti boleh kekal di kampus dan akhirnya mendapatkan ijazah mereka.
Kewujudannya sebagai akses kepada makanan yang mencukupi dan berkhasiat adalah hak asasi manusia.
Kehadiran mahasiswa yang tidak punya wang untuk makan di kolej atau universiti tidak bermakna bahawa hak ini akan hilang.
Justeru warga kampus harus menilai cadangan ini sebagai salah satu jalan penyelesaian terhadap masalah mahasiswa yang semakin kronik.
Biarpun cadangan tidak sempurna dan pasti ada kekurangan tetapi kita harus berani mencuba. Bak kata pepatah Melayu: Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
January 12, 2016 at 11:43 AM ×

nice entryy !

Congrats bro Maisarah Mimo you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar