Serbuan khalwat bukanlah tajassus (mengintip) yang ditegah Islam

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Serbuan khalwat bukanlah tajassus (mengintip) yang ditegah Islam

Kewajipan yang jelas

Kefahaman Nahi Mungkar atau mencegah sesuatu kemaksiatan adalah perkara yang sangat asasi dalam jiwa seorang muslim. Ianya merupakan kewajipan yang jelas bahkan ianya turut menjadi kayu ukur kepada keimanan seseorang itu. Cukuplah satu hadis yang biasa kita dengar ini menjadi dalil akan kefardhuannya itu:

Dari Abu Sa’id Al Khudri radiallahuanhu berkata : Saya mendengar Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam  bersabda: “Siapa yang melihat kemungkaran maka rubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka rubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.”

Hikmah wujudnya mencegah kemaksiatan itu bukanlah sekadar atas dasar suruhan agama semata-mata, namun ianya wujud demi memelihara maslahat umum masyarakat dalam sesebuah Negara. Seperti mana kemaksiatan itu bakal memusnahkan sistem kemasyarakatan serta negara keseluruhannya, maka mencegah kemungkaran itu akan terus memelihara sistem dan kestabilan Negara tersebut.

Berasaskan kefahaman inilah syariat Islam apabila berbicara dalam soal pemerintahan sebuah negara telah mengariskan salah satu tugasan utama pemerintah adalah mencegah kemungkaran yang disebut sebagai al-hisbah. Al-Muhtasib iaitu orang yang menjalankan hisbah sebagai wakil kepada pemerintah bertanggungjawab memastikan masyarakat terus jauh daripada perilaku maksiat. Mereka berperanan untuk mencegah kemungkaran apabila ianya jelas dilakukan.

Dalam masa yang sama, wujud dalam syariat Islam itu suatu perkara yang disebut sabagai larangan tajassus. Iaitu larangan untuk mengintai atau mencari-cari akan kesalahan muslim yang lain. Perkara ini juga jelas disebut oleh syarak bahkan difahami oleh sahabat ra serta ulama-ulama setelah itu.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain (Al-Hujrat : 12)

Asas kepada wujudnya larangan tajassus ini adalah kerana hubungan sesama muslim sepatutnya berdiri atas perasaan husnu zon (bersangka baik). Maka tindakan tajassus ini adalah satu lambang kepada perasaan suu zon (bersangka buruk) yang ditegah oleh syariat itu sendiri.

Gagal melihat sempadan

Jadi pada peringkat ini kita jelas, mencegah kemungkaran itu wajib, melakukan hisbah oleh pemerintah itu perlu dan dalam masa yang sama kefahaman larang tajassus itu benar wujud. Cumanya yang menjadi masalah dalam perbincangan kita pada hari ini adalah kita gagal melihat garis sempadan antara tajassus dan nahi mungkar.

Gagal memahami persempadanan ini dengan betul menyebabkan akhirnya kita menuduh akan suatu tindakan nahi mungkar seperti serbuan khalwat dan lain-lain itu tajassus dan sebaliknya. Salah faham ini bukan sekadar berlaku dalam masyarakat umum tetapi dikalangan asatizah atau pemimpin masyarakat juga terjadi.

Lebih menyedihkan isu ini telah diambil peluang oleh golongan-golongan Islam liberal seperti SIS, G25 dan lain-lain lagi demi memastikan kerangka kefahaman nahi mungkar dikalangan masyarakat khususnya umat Islam terus celaru. Hakikatnya mereka bukan perjuangkan supaya tidak berlaku tajassus dalam hisbah, tetapi yang mereka mahukan adalah kebebasan melakukan maksiat.

Tiga noktah penting hisbah dan tajassus

Demi memperbetulkan kefahaman ini, saya gariskan tiga perkara berkaitan tajassus dan nahi mungkar bagi membina gambaran jelas berkenaan sempadan antara dua perkara ini.

Secara umum, nahi mungkar itu hendaklah berlaku terhadap maksiat yang benar-benar terjadi. Ini jelas seperti yang disebutkan dalam hadis diatas, iaitu tegahan mungkar itu berlaku apabila maksiat itu “dilihat”. Ianya hendaklah sampai kepada peringkat yakin bahawa maksiat itu dilakukan bermaksud jika berada dalam keadaan syak (sangka-sangka), nahi mungkar tidak berlaku.

Inilah yang dimaksudkan daripada hadis Rasulullah SAW:



Dari Abi Barzah al-Aslami, beliau berkata : Rasulullah SAW berkata : “Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya (tetapi) tidak masuk iman itu ke dalam hatinya! Janganlah mengumpat orang-orang Islam dan janganlah mencari-cari keaiban mereka, sesungguhnya sesiapa yang mencari-cari keaiban orang maka Allah akan mencari keaibannya, dan sesiapa yang dicari oleh Allah akan keaibannya maka Dia akan menyingkap keaibannya (hatta) di rumahnya sendiri.” (Riwayat Abu Daud; dinilai oleh al-Albani sebagai hasan sahih)

Namun dalam hal maksiat yang menjangkaui zon (hampir kepada yakin) ianya juga perlu ditegah. Keadaan ini berbeza dengan syak tadi kerana syak adalah sangkaan semata-mata tanpa berdirinya sebarang asas, sedangkan keadaan ini pula apabila adanya tanda-tanda yang menunjukkan maksiat itu dilakukan. Perkara ini juga selari dengan kefahaman sadu zarai iaitu demi mencegah kemungkaran yang hampir pasti berlaku jika perbuatan itu dilakukan.


قال الإمام أبي محمد التميمي حاكياً اعتقاد الإمام أحمد رحمه الله : (( وكان يذهب إلى أنه لا يجوز كشف منكر قد استُسر به ، كما لا يجوز ترك إنكاره مع المظاهرة والمجاهرة ، ويأمر بأن يُظن بالناس خيراً )) . وفرَّق رحمه الله بين ظهور الأمارات أو العلامات الدالة على وقوع منكرٍ ، وبين طلب تلك العلامات والبحث عن العورات الذي هو التجسس ، قال: (( وكان يقول : إن التواري بالمنكر لا يمنع إنكاره إذا ظهرت رائحة أو صوت )) فظهور رائحة المسكر علامة على وجوده وهكذا .


Berkata imam Abi Muhammad At-Tamimi bahawa ini adalah kepercayaan Imam Ahmad rahimallah lalu berkata: Imam Ahmad berpendirian adalah tidak boleh kita mengintai kemungkaran yang dilakukan secara rahsia seperti mana tidak boleh kita membiarkan sesuatu kemungkaran itu apabila kita melihatnya kerana kita perlu bersangka baik sesame muslim, namun Imam Ahmad membezakan antara terdapatnya petanda kepada berlakunya kemaksiatan itu atau mencari-mencari keaiban orang lain (tajassus). Sebab itulah Imam Ahmad pernah berkata: Kemaksiatan yang dilakukan secara tersembunyi hendaklah dibendung jika wujud padanya suara (petanda berlaku zina) atau bau (petanda minum arak)


Secara logik akalnya pun perkara ini mudah kita fahami, bayangkan jika seseorang itu ditemui bersama satu mayat dalam keadaan pada dirinya ada senjata tajam. Sudah tentu kita akan jadikan lelaki itu suspek utama walaupun hakikatnya kita tidak nampak dia melakukan mungkar perbuatan bunuh itu ataupun tidak, yang ada hanyalah tanda-tanda kepada perbuatan itu dilakukan olehnya. Adalah tidak logik untuk kita melepaskannya sekadar dengan hujah kita tidak nampak dia lakukan maksiat itu.


Tegahan mungkar yang dimaksudkan dalam situasi ini adalah dilakukan siasatan seperti soal siasat, bertanya saksi dan lain-lain hingga dapat membawa kepada yakin adakah maksiat itu telah dilakukan ataupun tidak.


Dalam hal berkaitan kehormatan bermaksud maksiat yang melibatkan zalim terhadap orang lain maka tajassus itu dibenarkan walaupun sekadar syak. Ini juga antara perkara yang perlu kita fahami, larangan tajassus bukanlah bersifat mutlak semua perkara, padanya ada keadaan atau situasi yang dibenarkan untuk dilakukan iaitu apabila ianya berkaitan kezaliman orang lain.


Dalam kitab Tabsirah Al-Hukam fi Usulil Aqdiyah wa Manahijul Ahkam ada menaqalkan kalam Ibnu Al-Majashun


 قال ابن الماجشون : ” اللصوص وقطاع الطريق أرى أن يطلبوا في مظانهم، ويعان عليهم حتى يقتلوا أو ينفوا من الأرض بالهرب. وطلبهم لا يكون إلا بالتجسس عليهم وتتبع أخبارهم ” وكذا ذكر الفقهاء أنه إذا اشتهر وجود حانة خمر في بيت أو ممارسة الرذيلة ونحو ذلك، فلإمام المسلمين أن يبعث من يتجسس عليهم


Pencuri dan penyamun hendaklah kita selalu perhatikan pemikiran mereka, mengawasi dan menentang mereka hinggalah mereka diperangi atau dibuang negeri. Memerhatikan mereka tidak akan sempurna melainkan dengan tajassus (mengintip) serta mengikuti perkembangan mereka.




Imam Nawawi juga pernah menaqalkan kalam Mawardi yang menyebut bahawa hal yang dibenarkan tajassus adalah ketika adanya kemungkinan berlakunya pencerobohan keatas kehormatan seseorang seperti seseorang melaporkan bahawa ada lelaki berdua-duan bersama perempuan untuk lakukan zina, seorang lelaki yang ingin bertindak membunuh seseorang dan lain-lain lagi. Dimana dalam situasi ini walaupun bukti yang ada adalah lemah, tajassus hendaklah dilakukan.

Ini juga kerana demi maslahat umum iaitu memastikan kezaliman itu tidak terjadi terhadap orang lain adalah lebih besar berbanding melihat maslahat peribadi. Perkara ini selari dengan kaedah fiqh yang menyebut dilakukan mudharat yang kecil demi menolak mudharat yang lebih besar.


Perkara ini jelas tidak bertentangan dengan kisah Khalifah Umar ra bersama pelaku peminum arak, kerana dalam hal tersebut maksiat meminum arak itu adalah bersifat peribadi iaitu tidak menzalimin orang lain. Bahkan dalam kisah tersebut tidak wujudnya sebarang petanda yang maksiat itu sedang dilakukan.


Berdasarkan kefahaman kita terhadap perkara diatas jelas disini ruang tajassus itu adalah pada sesuatu maksiat peribadi iaitu tidak libatkan menzalimi pihak lain yang dilakukan secara tersembunyi hingga tidak ada sebarang petanda dia melakukannya. Maka jika ini yang terjadi pihak al muhtasib tidak boleh melakukan nahi mungkar.


Serbuan khalwat adalah tajassus?


Jadi kembali kepada persoalan asal yang banyak dibicarakan oleh masyarakat iaitu adakah serbuan khalwat itu satu bentuk tajassus. Jika kita lihat kepada pengamalannya secara undang-undangnya sendiri, serbuan khalwat itu berlaku apabila wujudnya sebarang aduan oleh mana-mana pihak berkaitan perbuatan tersebut. Ianya bukanlah serbuan secara tiba-tiba tanpa sebarang maklumat. Serta kebiasannya maklumat ini berdiri atas sebarang tanda-tanda dan bukan syak semata-mata. Noktah ini jelas menunjukkan ianya bukan tajassus.


Bahkan jika ianya suatu serbuan berdasarkan maklumat yang “tidak hampir kepada yakin” pun ianya tetap dibenarkan oleh Islam kerana khalwat ini bukanlah suatu bentuk maksiat peribadi, ianya melibatkan pihak lain dan termasuk dalam bentuk tajassus yang dibenarkan oleh syarak seperti digariskan dalam hujah diatas.


Juga pada satu sudut yang lain, isu khalwat ini perlu difahami bahawa tindakan serbuan tersebut bukanlah kerana takutkan wujudnya maksiat lain dalam khalwat itu, tetapi tindakan seseorang itu berdua-duaan dengan bukan muhrim itu sendiri adalah satu bentuk maksiat. Perkara inilah yang digariskan oleh Imam al-Ghazali


كما أن الخلوة بالأجنبية في نفسها معصية لأنها مظنة وقوع المعصية ، وتحصيل المعصية معصية


Sesungguhnya khalwat dengan muhrim itu sendiri adalah satu bentuk maksiat kerana ianya adalah satu perbuatan yang akan membawa kepada maksiat (zina). Perkara yang menghasilkan maksiat adalah satu maksiat.


Dalam syarak, jika natijah sesuatu perbuatan adalah suatu dosa yang berat, maka wasilah (jalan) kepada dosa tersebut juga mestilah dibenteras. Ini dinamakan qawaid al-wasail. Dan khalwat ini membawa kepada dosa yang besar iala itu zina (secara kebiasaannya), maka khalwat yang merupakan wasilah kepada zina tersebut mestilah dibenteraskan. Walaupun ia mengganggu sedikit maslahah yang lain, namun untuk menolak mudarat yang lebih besar dibolehkan untuk berlakunya mudarat yang lebih kecil.


Kesimpulan


Di akhir ini dapat kita fahami bahawa serbuan khalwat yang dilakukan pegawai jabatan agama Islam pada pada hari ini bukanlah satu bentuk tajassus. Tetapi ianya adalah satu bentuk nahi mungkar demi memelihara syariat Islam dan kemaslahatan masyarakat itu sendiri. Ianya adalah satu perbuatan yang syarie serta perlu diimani oleh semua muslim tanpa terkecuali.


Jika berlaku permasalahan pada sudut pelaksanaan maka yang perlu ditegur atau diperbaiki adalah perlaksanaannya dan bukan menghapuskan undang-undang ini atau menolak kefahaman asas yang sangat jelas ini.




Kita juga perlu hati-hati dalam memahami konteks ayat Al-Quran dan Hadis kerana ditakuti kita akan meninggalkan suatu kewajipan yang sangat jelas dalam syarak lalu bakal mengundang laknat Allah SWT kepada kita semua tidak kira samada mereka adalah perlaku maksiat atau mereka yang berdiam diri melihat kemaksiatan yang dilakukan oleh orang lain.

Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. (78) Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Al-Maidah 78-79)


Ustaz Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

SUMBER:#indahnyaislam



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
 photo p18_zpsnhtphbmr.png