Pelarian Syria Mangsa Percaturan Kuasa Dunia

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Pelarian Syria mangsa percaturan kuasa dunia: Dr Zainur Rashid

KETIKA ini hangat diperkatakan mengenai isu pelarian Syria, lebih-lebih lagi apabila setiap hari media melaporkan kematian demi kematian membabitkan pelarian Syria. Jalan laut dan darat terpaksa dilalui pelarian untuk menjalani kehidupan lebih baik di destinasi impian mereka.

Lebih memilukan, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Aylan Kurdi, ditemui mati lemas dan mayatnya terdampar di sebuah pantai di Turki. Beliau sekeluarga sebelum ini terpaksa menaiki bot bersama pelarian lain untuk memasuki Greece bagi meneruskan kehidupan.

Kemelut dan krisis yang berlaku di negara itu sudah berlarutan bertahun lamanya sekalipun sudah mendapat perhatian daripada pelbagai negara. Untuk itu, wartawan Ismaweb, Siti Fatimah Ishak mendapatkan pandangan Ahli Jawatankuasa Pusat Isma, Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin berkenaan isu ini. Beliau juga merupakan perunding Aman Palestin Berhad yang banyak menyertai misi kemanusiaan di Timur Tengah dan kerap diundang berceramah menyampaikan isu umat Islam khususnya Palestin.

Ismaweb: Kini rakyat Syria terpaksa menjadi pelarian di negara lain. Apa pandangan Dr?

Dr Zainur: Peperangan di Syria yang bermula sejak Mac 2011 telah mengakibatkan lebih 250,000 rakyat Syria yang terkorban. 11.5 juta telah kehilangan tempat tinggal dan terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka.

Lebih 4 juta orang terpaksa berhijrah ke luar negara seperti Turki (2 juta), Lubnan, Jordan dan Iraq. Ribuan yang lain terpaksa berhijrah ke Eropah dan lain-lain.

Ismaweb: Pada pandangan Dr, siapakah sebenarnya Bashar Assad dan adakah beliau yang menjadi punca sebenar kepada krisis yang berlaku di Syria selama ini?

Dr Zainur: Syria mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1945 dan kemudiannya telah diperintah secara diktator oleh Hafiz al-Asad selama 32 tahun. Beliau telah digantikan oleh anaknya Bashar al-Asad yang memerintah Syria selama 12 tahun secara kejam.

Bashar al-Asad adalah dari kalangan Syiah Alawi (yang telah diistiharkan oleh para ulama Sunni bahawa mereka terkeluar daripada Islam) yang mendapat sokongan Hizbullah Lubnan, Syiah Iraq, Iran dan juga Russia.

Meskipun Syiah Alawi hanya 6 peratus daripada keseluruhan rakyat Syria, regim Bashar al-Asad berjaya mengekalkan kekuasaannya dengan pemerintahan kuku besi bersama sokongan Lubnan, Iraq, Iran dan Russia.

Untuk memahami krisis di Syria, saya ringkaskan kepada tiga watak:

Antagonis – Bashar, Hizbullah Lubnan, Iraq, Iran dan Russia.

Protagonis – Rakyat Syria, Free Syrian Army (mujahiddin – ada banyak kumpulan, lebih 10 kumpulan dan agak complicated), Syrian National Council dan pakatan pembangkang.

Kumpulan ke-3, dimainkan peranannya oleh CIA (AS) dan Mossad (perisik Israel) dan menaja sebahagian daripada kumpulan penentang Bashar.

Mereka banyak menyerang FSA daripada menyerang tentera Bashar. Dalam ertikata lain, mereka mahu supaya Syria lumpuh sebagaimana Iraq, membiarkan Syiah mentadbir ke atas Sunni yang tiada kekuatan. Manakala tiada lagi di kalangan negara ini yang boleh membantu Palestin. Israel boleh meneruskan projek mereka dengan lebih mudah di Palestin untuk menguasai al-Aqsa dan pembinaan negara Israel Raya.

Ismaweb: Adakah dengan melarikan diri ke negara-negara lain merupakan penyelesaian terbaik untuk mereka?

Dr Zainur: Rakyat Syria tidak mempunyai pilihan, samada kekal di Syria menunggu kematian atau terpaksa melarikan diri untuk menyelamatkan keluarga dan masa depan.

Ismaweb: Pada pendapat Dr, adakah kuasa-kuasa besar dunia seperti PBB dan Liga Arab perlu betul-betul bertekad membantu rakyat Syria dalam menentang dan menjatuhkan pemerintahan rejim Syria ini?

Dr Zainur: Sikap membisu dan hipokrasi PBB terhadap isu Syria adalah sebagaimana PBB terhadap Palestin.


Isu kemanusiaan yang dilaungkan hanyanya gula-gula di hadapan masyarakat antarabangsa. Tiada di kalangan negara kuasa besar yang mahu membantu Syria dan yang lebih menyedihkan adalah sikap pemimpin negara-negara Arab dan negara umat Islam yang bersikap acuh tidak acuh terhadap krisis kemanusiaan yang paling teruk dan dahsyat di abad ini.


Ismaweb: Ada dakwaan mengatakan, sekiranya Amerika menyerang Syria, maka akan jadi Perang Dunia Ketiga. Apa pandangan Dr?



Dr Zainur: AS lebih selesa dengan peranan mereka sebagai pengadu domba, penaja dan pembekal senjata terhadap peperangan yang berlaku di Syria daripada terlibat dalam peperangan secara langsung.



Tiada siapa yang tahu apa yang bakal berlaku sekiranya AS menyerang Syria secara terus sebagaimana mereka menyerang Iraq semasa perang Teluk sebelumnya.



Ismaweb: Apakah sumbangan terbaik yang kita dapat berikan kepada umat Islam mahupun pelarian Syria ini?



Dr Zainur: Pertama, setiap kita yang berada di Malaysia boleh memainkan peranan dengan meningkatkan doa kita kepada Allah supaya krisis ini berakhir seberapa segera dan rakyat Syria diberikan ketabahan dan keringanan dengan ujian ini.



Seterusnya yang kedua, rakyat Malaysia boleh membantu meringankan bebanan rakyat Syria dengan menghantar bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada rakyat Syria dan para pelarian di negara-negara jiran melalui NGO dan badan-badan kebajikan yang berdaftar.



Peranan penting harus dimainkan oleh OIC dan pemimpin negara-negara Arab dan negara Islam antarabangsa seberapa segera.


sumber:indahnyaislam


Previous
Next Post »